Tun Dr Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia Keempat (1981-2002) 'Pencetus Malaysia Negara Maju'
Era
Pada 20 Disember 1925, Encik Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi dikurniakan dengan seorang anak lelaki di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Seta , Kedah. Pada masa itu, mereka telah pun mempunyai lapan orang cahaya mata. Anak bongsu ini dinamakan Mahathir bin Mohamad yang kini dikenali sebagai Tun Dr Mahathir bin Mohamad iaitu Perdana Menteri Malaysia yang keempat mulai 18 Julai 1981.
Asal Usul
Persekolahan Tun Dr Mahathir bin Mohamad bermula di Sekolah Melayu Laki-laki Seberang Perak, Kedah. Kemudian disambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar (kini Maktab Sultan Abdul Hamid) di mana ayahandanya, Encik Mohamad bin Iskandar adalah gurubesar sekolah itu yang pertama. Ibunya Wan Tempawan binti Wan Hanafi adalah keturunan Wan Mat Saman, Menteri Besar Kedah yang membina terusan Wan Mat Saman.
Encik Mohamad Iskandar adalah anak Melayu pertama yang menjadi guru besar sebuah sekolah Inggeris pada tahun 1908. Beliau adalah seorang yang tegas dan menitikberatkan prestasi pendidikan yang tinggi di kalangan anak-anaknya. Sejak kecil Tun Dr Mahathir bin Mohamad dikatakan sebagai seorang yang pasti akan jalan tujunya dan cara mencapai matlamatnya. Secara semulajadi beliau merupakan seorang yang rajin dan mempunyai determinasi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad bersekolah di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan di Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Halim. Semasa Jepun memerintah Malaya persekolahannya tergendala dan Tun Dr Mahathir bin Mohamad berkecimpung dalam perniagaan gerai kopi serta menjual buah-buahan dan barangan kraftangan di Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyambung pelajarannya di sekolah yang sama pada tahun 1945 sehingga Senior Cambridge. Tun Dr Mahathir bin Mohamad kemudiannya pada tahun 1947, melanjutkan pengajian ke King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura. Pengalaman berniaga yang dilalui menyedarkan beliau betapa perlunya kemahiran berniaga untuk meninggikan taraf hidup kaum Melayu. Inilah yang mendorong Tun Dr Mahathir bin Mohamad menceburi bidang politik apabila beliau masih di bangku sekolah.
Penglibatan politiknya bermula pada tahun 1945 apabila Tun Dr Mahathir bin Mohamad menganggotai SABERKAS. Pada tahun 1946 Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyertai pula Kesatuan Melayu Kedah. Apabila Kongres Melayu SeMalaya diadakan pada tahun itu, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad turut sama dalam peristiwa bersejarah itu dan merupakan salah seorang pengasas UMNO apabila Kongres membuat resolusi untuk menubuhkan UMNO dan membuka keahliannya.
Berkat hasil usaha beliau, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di bidang perubatan di Universiti Malaya, Singapura. Semasa di Kolej Perubatan, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Islam dan Ketua Ridaksi majalah pelajar di Kolej Kedoktoran tersebut. Di sinilah juga Tun Dr Mahathir bin Mohamad bertemu dan kemudiannya berkahwin dengan Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 5 Ogos 1956, dan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan pada 1953. Tun Dr Mahathir bin Mohamad seterusnya berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan kemudiannya di Pulau Langkawi. Pada tahun 1957, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dan membuka klinik MAHA di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Ini semata-mata untuk membolehkan beliau bergiat dalam politik. Pada masa inilah beliau dikenali sebagai Dr Mahathir.
Keistimewaan
Tun Dr Mahathir bin Mohamad adalah seorang pemikir dan revolusiner. Di bawah pentadbirannya negara telah melalui suatu proses transformasi yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Tun Dr Mahathir bin Mohamad mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan rakyatnya mampu bersaing di peringkat global.
Hasratnya dijelaskan dalam apa yang dinamakan Wawasan 2020 yang beliau utarakan pada 28 Februari 1991 dengan bermatlamatkan "ke arah pembentukan sebuah negara yang benar-benar maju dalam segala bidang secara seimbang meliputi ekonomi, politik sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan".
Tun Dr Mahathir bin Mohamad memperkenalkan konsep Persyarikatan Malaysia di mana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyat adalah pekerja dan pemegang saham. Ini meningkatkan lagi prestasi pekerjaan, pendapatan serta imej negara. Di antara langkah-langkah ke arah mencapai sistem ekonomi perindustrian ini adalah pembangunan sektor industri berat. Salah satu kejayaan industri ini ialah pengeluaran kereta nasional yang kini merupakan kereta yang paling laris di Malaysia (Kereta import dikenakan cukai 100%). Tun Dr Mahathir bin Mohamad juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad(PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera. Harapan Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad adalah menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Wawasan 2020 adalah satu penyataan cita-cita. Bagaikan seorang artis, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menampilkan satu falsafah yang murni yang kemudiannya disusuli dengan keindahan perlaksanaan. Matlamatnya ialah pembangunan yang berwajahkan kemanusiaan dengan persekitaran yang seimbang.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bin Mohamad tidak pernah letih memperkenalkan perubahan. Langkah awalnya setelah menjadi Perdana Menteri ialah memperkemaskan jentera kerajaan dengan menggerakkan kempen 'Bersih - Cekap - Amanah' dan 'Kepimpinan melalui teladan' ke arah menerap nilai kebertanggungjawaban dan etika murni dikalangan kakitangan awam khususnya dan masyarakat amnya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad juga tidak lupa menerapkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran. Kempen peningkatan 'Daya Pengeluaran Negara' juga dianjurkan begitu juga dasar 'Penerapan Nilai-nilai Islam' sebagai satu wadah menerapkan budaya kerja yang selari dengan ajaran Islam. Selain itu dibawah kepimpinannya, tertubuhlah Universiti Islam Antarabangsa yang dicetuskan oleh timbalan Perdana Menteri, Anuwar Ibrahim, dan Bank Islam. Sejak itu, Malaysia diberi penghormatan dan kepercayaan untuk mengendalikan persidangan-persidangan bertaraf antarabangsa seperti PATA, CHOGM, Kumpulan Selatan dan kini Sukan Commonwealth 1996.
Dr. Mahathir adalah seorang yang menjaga waktunya, sehubungan itu beliau telah menukar waktu negara dengan mempercepatkan setengah jam di Semenanjung agar selaras dengan Sabah dan Sarawak sebagai satu usaha integrasi nasional. Dalam proses itu Singapura telah diyakinkan untuk turut serta.
Beliau kemudiannya memperkenalkan 'Dasar Pandang Ke Timur' dengan menjadikan budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea sebagai suatu yang harus diteladani oleh rakyat demi meningkatkan produktiviti serta menyemai etika kerja professional.
Sealiran dengan dasar itu beliau menampilkan 'Dasar PengsyarikatanMalaysia' yang bertujuan menjana kerjasama antara sektor awam dan swasta agar kedua-duanya bekerja sebagai rakan kongsi dalam pembangunan.
Dalam memperhebatkan eksport negara, Dr. Mahathir memperkenalkan 'Sogossosha Malaysia' yang diceduk dari versi Jepun yang bertujuan menjadikan syarikat-syarikat Malaysia berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan penyatuan sumber dalam usaha meluaskan pasaran produk Malaysia.
Dalam usaha ke arah membina negara maju proses industrialisasi adalah sesuatu yang wajib. Sehubungan itu beliau telah melancarkan 'Dasar Perindustrian Negara' yang bertujuan mengorentasikan kegiatan ekonomi Malaysia kepada eksport barangan industri demi mengurangkan pergantungan ekonomi terhadap komoditi dan seterusnya mempertingkatkan teknologi negara melalui pemindahan teknologi. Melalui dasar ini HICOM, Perwaja dan beberapa kilang berkapasiti tinggi telah diwujudkan. Hasil dasar ini maka lahirkan kereta nasional 'Proton Saga'. Sejak itu Malaysia menjadi pemain yang aktif dalam industri otomobil dengan mengeluarkan van 'Rusa' dan motosikal ;Kriss' dan menjadi pengeksport kereta yang berdaya maju.
Tidak cukup dengan dengan membuat kereta, beliau juga menggerakkan projek litar Formula 1 yang bakal menjadikan Malaysia salah satu destinasi grand prix dunia. Negara juga menaja pasukan formula 1 Stewart. Pada tahun 1993 Malaysia terlibat dalam bidang pengeluaran pesawat terbang ringan 'Eagles X-TS'.
Belum sempat rakyat mengejar teknologi negara di jalan raya, beliau telah membawa negara ke angkasa lepas. Beliau mengasaskan Pusat Kajian Sains Angkasa Lepas dan impiannya terserlah dengan terbinanya Planetarium Negara yang dilancarkan pada tahun 1994.
Sehubungan itu beliau telah mengilhamkan agar Malaysia mempunyai satelitnya sendiri. Ini menjadi kenyataan apabila tirai tahun 1995 ditutup dengan pelancaran MEASAT 1 dan disusuli dengan MEASAT 2 pada Oktober 1996.
Malaysia juga mengalami pembangunan prasarana yang luar biasa pesatnya di bawah kepimpinan Dr. Mahathir. Projek lebuhraya menghubungkan utara - selatan dan timur - barat semenanjung telah menjadikan Malaysia negara yang mempunyai rangkaian lebuh raya antara yang terbaik di dunia. Malaysia juga melangkah ke era pengangkutan berteknologi tinggi apabila transit aliran ringan (LRT) diperkenalkan di Kuala Lumpur.
Pada September 1996, kerajaan telah mengumumkan pembinaan bandaraya pentadbiran persekutuan 'Putrajaya' yang bernilai RM2.6bil. Putrajaya sebuah bandar pentadbiran terancang mempunyai falsafah murni ke arah mempertingkatkan produktiviti pentadbiran awam negara dan seterusnya mewujudkan 'kerajaan elektronik'.
Dalam tahun 1996 Dr. Mahathir melihat satu lagi impiannya menjadi kenyataan apabila struktur tertinggi di Malaysia menjadi kenyataan. Menara Kuala Lumpur yang menempatkan pusat transmisi TV dan telefon selular merupakan manara konkrit yang tertinggi di dunia dan semestinya mercu tanda ibukota yang paling bergaya dengan ketinggian 451.9 m. Menara ini juga menara telekomunikasi yang ketiga tertinggi di dunia.
Rekod Malaysia tidak bernoktah di situ sahaja. Dr Mahathir juga mengilhamkan 'Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yakni projek hartanah yang terbesar di dunia dengan nilai RM 2bil. Bangunan ini merupakan bangunan tertinggi di dunia dengan 88 tingkat menara berkembar di atas lokasi seluas 40 hektar. Meskipun beberapa sudut dunia bakal menampilkan bangunan yang lebih tinggi, namun rekod ini akan kekal sebagai menara 'berkembar' yang tertinggi di dunia bagi abad ke dua puluh dan juga untuk buat beberapa tahun yang akan datang.
Malaysia pada tahun 2002 dijangkakan mempunyai sebuah empayar hidroelektrik baru iaitu Empangan Bakun, sebuah projek mega yang bernilai RM20bil. di Sarawak. Tidak syak lagi, projek ini yang telah diistiharkan sebagai 'projek negara' merupakan projek prasarana yang terbesar di Malaysia dan bakal dipeta sebagai empangan yang terbesar di Asia.
Menyedari bahawa industri penerbangan awam bukan hanya memerlukan pesawat terbang canggih tetapi juga lapangan terbang yang serba boleh, Dr. Mahathir telah menukar kawasan ladang di Sepang kepada tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Lapangan terbang ini akan tampil sebagai yang tercanggih di rantau ini dengan nilai RM9 bil. Apabila siap sepenuhnya, ia akan dapat menampung perjalanan 100 juta penumpang setahun dan pastinya menjadikan Penerbangan Malaysia (MAS) antara yang paling kompetitif di dunia.
Semua orang tahu Dr. Mahathir mempunyai komputer di pejabatnya, tetapi tiada siapa yang sangka bahawa beliau akan meletakan paksi dunia komputer di Malaysia.
Pada tahun 1997, Dr. Mahathir memperkenalkan 'Koridor Raya Multimedia (MSC)' yang akan menjadikan Malaysia pusat eksperimen pembangunan prasarana multimedia yang terunggul di dunia. MSC akan menggabungkan semua ruanglinkup industri teknologi maklumat dalam sebuah persekitaran yang khusus buatnya. Sehubungan itu sebuah bandar ultra-tekno 'Cyberjaya' akan dibina dan bakal menjadi satu-satunya bandar siber dunia.
Gagasan MSC akan menempatkan kerajaan e-elektronik dan universiti multimedia serta menjadi pemangkin kepada perlaksanaan sekolah bestari, tele-perubatan, kad pintar, pusat pemasaran tanpa bersempadanan serta pusat pengeluar web sedunia.
Dr. Mahathir juga memberikan penekanan kepada pembangunan akademik. Malaysia kini menjadi tumpuan bukan sahaja kepada pelajar luar yang datang menimba ilmu tetapi juga kepada universiti-universiti luar yang datang untuk menyebarkan ilmu samada dengan membuka cawangan atau mengadakan program berkembar di sini. Dasar liberalisasi pendidikan yang dilaksanakan ini bakal mencorakkan Malaysia sebagai pusat pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara. Tidak setakat pendidikan tinggi, konsep kecermelangan pendidikan juga akan diterapkan ke peringkat sekolah dengan memperkenalkan 'sekolah bestari' (smart school) yang bakal beroperasi penuh menjelang tahun 2000.
Dr. Mahathir bukan hanya berusaha membangunkan Malaysia tetapi beliau juga berusaha membangunkan negara-negara dunia ketiga yang lain. Beliau menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia melabur ke negara-negara yang memerlukan pelaburan serta menghulurkan bantuan teknikal kepada negara-negara yang ketandusan kepakaran. Kini Malaysia merupakan pelabur terbesar Kemboja dengan RM1bil. Yang kedua terbesar di Vietnam dengan nilai pelaburan berjumlah RM559 disamping membuat kehadirannya sangat dirasai di Myanmar, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Maldives.
Tidak kira apa gagasannya - negara membangun, negara dunia ketiga, negara kecil atau negara miskin - beliau dengan berani menyuarakan masalah mereka dalam forum-forum antarabangsa serta menyelar negara-negara maju yang tidak ikhlas membantu malah menindas dengan prejudis.
Pandangannya yang kritis tetapi nyata, telah menjadikan beliau jurucakap kepada negara-negara dunia ketiga dan pembela agama Islam yang konsisten. Malaysia mampu berbuat demikian kerana Malaysia "Merdeka' bukan sahaja dari segi politik tetapi juga ekonomi dan yang lebih penting - dari segi spiritualnya.
Dr. Seri Mahathir Mohamad kini dianggap sebagai seorang pemimpin dunia yang berjaya meskipun memimpin sebuah negara yang kecil. Beliau bukan hanya berjaya Memerdekakan negaranya dari semua segi, tetapi berusaha memerdekakan negara-negara lain dari belenggu falsafah pembangunan yang dijana dari barat yang jelas muflis idealistiknya. Bagi Dr. Mahathir falsafah pembangunan haruslah dijana dari dalam, manakala sumbernya bolehlah didatangkan dari luar dan bukan disebaliknya.
Rakyat hari ini dan generasi yang terkemudian tidak akan lupa pada Dr. Mahathir kerana 'Wawasan 2020nya'. Wawasan 2020 yang mengandungi apa yang dikatakan 'Sembilan Cabaran Utama' merupakan cita-citanya melihat rakyat Malaysia mengamalkan nilai-nilai murni dan pragmatik ke arah pembentukan sebuah masyarakat maju dengan hasil jalinan keindahan spritual dan kemewahan material.
Wawasan 2020 bukan suatu sasauan, malah ia adalah satu realiti yang mana prosesnya sedang rancak berirama mengelilingi kita dengan program-program pembangunan. Bagi Perdana Menteri Dr. Mahathir, perjuangannya belum selesai kerana perjalanannya tidak pernah berpenghujung. Beliau secara realistik menjelaskan, "saya tidak akan hidup sehingga tahun 2020 tetapi saya pasti Wawasan 2020 akan dapat dicapai".
Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi seorang pemimpin yang disegani dan sering dirujuk untuk memberikan pandangan di kalangan negara-negara sedang membangun. Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap sebagai jurucakap bagi negara-negara sedang membangun terhadap polisi-polisi kuasa besar politik dari Barat. Beliau memikul harapan negara untuk merintis jalan ke arah suatu peranan kepimpinan di dalam dunia ekonomi dan politik antarabangsa.
- TAMAT -